raya di padang pasir

raya kali ini memang raya yang paling sunyi dalam hidup aku memandangkan ramai sahabat yang pulang meraikan raya di malaysia bersama keluarga masing-masing. hanya bertemankan beberapa orang rakan senior dan segerombolan pelajar-pelajar baru yang tak pernah aku kenali, cukup membuatkan raya kali ini lebih suram dan kelam berbanding tahun-tahun yang lalu. kutuk, perli, gelak tawa itulah yang aku rindu sekarang.

buat rakan-rakan, izinkan aku memutar kembali memori kita bersama saat-saat awal permukiman kita di tanah tandus ini. waktu tahun satu, ketika masih hijau dengan dunia luar, umpama pucuk tunas baru menjengah keluar tanah, kadang-kadang memang rasa seronok. ingin mencuba benda baru, mencari rakan-rakan arab baru, solat tarawih dari satu masjid ke masjid yang lain, mencuba pelbagai makanan arab, kadangkala mengujakan.

memang sedih dan syahdu terasa saat itu, buat pertama kalinya beraya tanpa keluarga di sisi, tanpa mengucup mesra tangan ayahanda dan bonda. namun kehadiran sahabat yang senasib buat penawar rindu, sedikit terubat dengan keletah yang pelbagai. sama-sama bangun pagi, berkumpul bersarapan bersama, bermesra di masjid seusai solat raya, dan takbir di masjid pada malam hari. warna warni baju raya, ditambah dengan rumah terbuka menghidupkan kemeriahan suasana raya seperti di malaysia.

tahun 2, aku masih mengulang rutin yang sama cuma kurang sikit mode syahdu itu. alah bisa tegal biasa bak kata pepatah. yang bezanya bilangan pelajar melayu ketika itu bertambah ramai. naik tahun 3, sesuai dengan kedudukan rumah aku yang agak terpencil dengan komuniti melayu, raya aku bertambah sepi. ditambah pula dengan kepulangan satu-satunya jiran melayu yang aku ada ke malaysia, aku kurang semangat untuk beraya. aku bosan dan cuba mencari kelainan dengan beraya di rumah sahabat arab berbangsa badwi berdekatan dengan laut mati.

raya arab tidak meriah? meriah juga pada aku. mereka berpakaian segak, berkot dan bertali leher. ziarah-menziarahi juga ada. tapi sesama saudara mara. tak nampak pula aku budak-budak pengutip duit raya yang datang. arab-arab kampung memacu kuda di jalanan. siapa yang nak naik kuda? silakan ke kawasan isyarat iskan. juga syari' jamiah yang bertambah sesak dengan kehadiran ''rusa masuk kampung'' yang kadangkala membuatkan aku menyampah.

aku sedikit terpukul dengan pesan sahabat. terima kasih halfi. biar di mana kita sekalipun, biar dalam suasana apapun, biarlah semangat hari raya itu ada. itulah tanda kita meraikan kemenangan melawan nafsu di bulan puasa. berpakaian elok ke masjid, ziarah menziarahi sesama muslim itu sudah elok. menurut ustaz zaharuddin, muslim yang tulen akan berasa sedih dengan pemergian ramadan. entah ya entah tidak dapat bertemu lagi.

di kesempatan ini, ingin aku ucapkan selamat hari raya aidilfitri buat rakan-rakan dan pembaca blog. mohon maaf kalau ada kesilapan,mohon berlapang dada andai tersalah bicara. mohon ampun sekali lagi kalau entri ini bosan.

sekian

12 am 1 syawal
syari' tulkaram
irbid

2 comments:

doraemong said...

syahdu abes karangan otai..sedeh bai

Anonymous said...

adekwan walaupun senyap tidak kusangka beliau pandai mengarang.agak matang dalam penulisan.cuma kelakuan beliau sedikit melucukan.haha.selamat hari raya maaf zahir batin dari arrukes alkacaki sekeluarga dari united kingdom.

Copyright © 2009 - Yamani Iskan Corner - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template