Showing posts with label cerpen. Show all posts
Showing posts with label cerpen. Show all posts

Siakap Senohong Gelama Ikan Duri, Pantun Tak Habis Ini Sila Sambung Sendiri

Peluh mula membasahi dahinya. Ketiaknya mula terasa basah. Cukup penat. Lagi-lagi musim panas begini. Dari pagi dia bekerja menjaga kaunter tiket. Namun dia bangga. Dia bangga menjadi salah seorang penjaga khazanah negaranya yang teramat bernilai. Yang baru saja diiktiraf menjadi salah satu binaan ajaib di dunia.

Sebuah kota yang terletak di negaranya, tapi orang Sweden yang mengaku orang pertama yang menemuinya. Ceh.

''Apa kau mahu?'' dia bertanya dengan seorang pemuda Malizia yang baru sebentar tadi membayar harga tiket. Kenapa tak terus masuk?

''Aku berhutang dengan kau. Bukan. Dengan negara kau. Sekarang aku nak bayar kembali,'' jelas pemuda yang berwajah redup, berjanggut sejemput itu. Serius bunyinya.

''Apa yang kau hutang dengan aku? Entah bila masa kita berjumpa,'' balasnya. Dia cuba merangsang salah satu bahagian otaknya, iaitu hippocampus untuk mengorek kembali memori-memori lama. Ah, sungguh ''medical'' cerpen aku, jargon perubatan pun sempat diselitkan, bisik hati pengarang.

Namun, tidak ketemu. Banyak orang Malizi yang dia pernah jumpa malahan pernah bersembang panjang mahupun pendek. Baginya semua orang Malizi adik-beradik, muka sama tiada beza. Entu tusybihu ba'adh,ayat yang sama yang sentiasa diucap.

''Kan aku dah cakap, aku berhutang dengan negara kau. Bukan dengan kau. Kau cuma perantara,'' balas pemuda Malizi itu dengan tenang. Lancar dan fasih bahasa Arabnya. Kalau tak tengok muka, mati-mati dia terfikir suara itu milik orang sebelah utara negaranya. Entah berapa belas tahun pemuda ini tinggal di negaranya.

''Teruskan..''

''Begini....''

Menurut pemuda itu, beliau merupakan pelajar di negaranya. Jadi setelah sekian lama tinggal di sini, beliau mahir banyak perkara tentang negaranya. Ibarat di hujung jari. Ada masa lapang, dia membawa tetamu yang datang dari Malizia untuk melawat negaranya termasuk tempat yang dia jaga. Pengarang terasa malas nak menaip perkataan 'pemuda itu' dalam jumlah yang banyak. Anggap saja namanya Syamsuddin.

Orang Malizia kadang terlalu berkira. Datang ke negaranya beribu kilometer ada duit tapi hendak membayar harga tiket masuk tempat itu yang cuma 5% daripada harga tiket kapal terbang pergi-balik pun kedekut. Untuk orang Malizia yang menetap di negaranya sama ada pelajar atau pekerja, mereka akan mendapat harga lebih kurang 25 kali ganda kurang daripada pelancong. Dalam erti kata lain, 0.2% daripada harga tiket kapal terbang pergi-balik.
Untuk mendapatkan harga yang murah, pelancong-pelancong akan meminjam kad pengenalan menetap atau kad pelajar(iqamah dan hawiyyah) daripada mana-mana orang Malizia di situ. Penjaga tiket tak akan sedar. Entu tusybihu ba'adh. Berani sungguh mereka menginjak maruah negara yang terulung di dunia, bisik hatinya. Ceh.

Kita kembali kepada kisah Syamsuddin. Dia mengaku telah beberapa kali membawa pelancong Malizia dan tak lupa untuk meminjam iqamah ataupun hawiyyahmilik rakan-rakannya. Untuk membantu pelancong-pelancong jagaannya mendapat harga yang murah hasil daripada penyamaran itu. Untuk meraikan tetamu.

Syamsuddin akhirnya sedar bahawa itu bukan caranya untuk meraikan tetamu. Matlamat tak menghalalkan cara. Banyak cara untuk meraikan tetamu. Dan yang pasti, menipu bukan salah satu caranya. Syamsuddin menghulurkan beberapa keping wang kertas yang kalau diteliti mencapai angka tiga digit. Untuk menebus kembali dosa-dosa silam katanya.

Dia terharu dengan kejujuran Syamsuddin. Jarang benar dia berhadapan dengan situasi begini. Mana taknya, orang negaranya juga banyak juga yang penipu. Lebih-lebih lagi pemandu teksi tak bermeter. Yang ada meter pun tutup meter atau beritahu penumpang yang meternya rosak.

''Simpan saja duit kau itu. Aku maafkan kau kali ini. Moga Allah memberkati kau atas kejujuran kau''
Lampu dipadamkan. Tirai ditutup. Penonton ada yang menguap dan ada yang mengulas cerita bersama rakan-rakan. Mereka mula bersurai.

p/s Anggap saja artikel ini tidak mewakili pendapat peribadi pengarang.

Click here bai to read more On "Siakap Senohong Gelama Ikan Duri, Pantun Tak Habis Ini Sila Sambung Sendiri"!

Lelaki Tua Dari al-Quds

''Aku sampai sekarang tak tahu ayah dan mak aku masih hidup atau tidak,'' kata Pak Cik Mamduh.

Dia masih ingat. Ketika ''Perang 6 Hari'' berlaku pada 1967, dia berada di Kuwait. Berhijrah mencari rezeki di tempat yang lebih aman berbanding al-Quds, tanah kelahirannya. Saat al-Quds kucar-kacir atau kuca-lana dalam dialek Kelantannya, keluarganya masih berada di sana. Tentera Israel bertempur dengan tentera dari beberapa buah negara Arab. Cukup membimbangkannya. Hatinya meronta-ronta ingin kembali ke bumi yang dicintainya itu. Biarlah dia mati mempertahankan tanah milik bangsanya dan umat Islam, daripada menyorok takutkan peluru musuh. Bak kata penyair,''Hidup biar bermaruah atau mati syahid''. Namun, keadaan tidak mengizinkan.

Lantas, dia mengambil keputusan berhijrah ke Mesir. Ramai saudara-maranya tinggal di sana. Sekurang-kurangnya dapat mengubat kerinduan terhadap keluarga sendiri. Hari berganti hari. Dia membuat keputusan untuk berkelana seorang diri di Jordan. Lebih dekat dengan al-Quds, negeri kelahirannya. Hanya berjarak 40km sahaja. Dari Gunung Nebo yang menjadi tempat suci orang Kristian, al-Aqsa dapat dilihat.

Kini, dia sudah tua. Namun, masih tidak tahu ibu bapanya masih hidup atau tidak. Menurut kajian, purata usia kematian penduduk Jordan adalah 70 tahun. Kalau di Palestin, pengarang sendiri tidak tahu. Mohon dimaafkan pengarang yang kurang berpengetahuan ini. Dia kini berusia 60 tahun dan ibu bapanya menjejak usia 90 tahun barangkali. Walau apapun, dia tak lupa untuk mendoakan kesejahteraan mereka, hidup ataupun mati.

Dia kini menghabiskan sisa-sisa hidup di utara Jordan. Tak keluar pun ke tempat lain. Hanya berulang-alik dari rumah ke masjid saja yang menjadi rutin hidupnya. Dia tiada anak. Kasih sayang dan luahan perasaannya sering dicurahkan kepada pelajar-pelajar berbangsa Melayu di situ, dari Malaysia dan juga Patani.

''Kau tahu Sheikh Nabulsi cakap apa hari ini?''

Ayat itu seringkali diulang-ulang. Mujur ada seorang anak Melayu yang rajin mendengar dan berbual dengannya biarpun terpaksa berdiri menunggunya habis bercakap biarpun terpaksa menahan sejuk hembusan angin dingin. Kadangkala sehingga setengah jam dia bercakap. Memang kuat otot kaki budak Melayu itu.

Dia memang meminati Sheikh Muhammad Ratib an-Nabulsi, ulama yang tinggal di Dimashq itu. Setiap minggu, dia mendengar syarahan ulama itu dalam rancangan radio channel ''Shout Dimashq''. Baginya, sheikh itu seorang yang hebat. Selain mempunyai Phd dalam Bahasa Arab, beliau juga mempunyai pengetahuan sains yang luas. Rajin membaca dan bertanya, barangkali. ''Pengetahuan yang seluas dan sedalam laut,'' katanya.

Kadang-kadang, beliau bercerita tentang sejarah Arab dan Islam kepada kawan baiknya itu. Sejarah Uthmaniyyah mahupun sejarah al-Quds dikongsikan juga. Biarlah orang 'ajam yang mengenang dan menghargai sejarah bangsanya. Sekurang-kurangnya dinilai dari sudut Islam bukan dari Nasionalisme Arab.

Waktu Ghaza diserang, hatinya tambah pedih. Remuk dan berkecai. Zalim sungguh tentera Zionis yang membantai penduduk Ghaza. Namun, lebih zalim lagi saudara-saudara mereka yang membiarkan bahkan membantu musuh mereka menzalimi saudara sendiri. Tak mungkin tubuh tuanya berkudrat mengangkat senjata. Hanya doa yang dititip buat mereka dan boikot untuk melemahkan musuh.

Dia begitu rindu dengan al-Quds. Dia sentiasa berharap agar dapat kembali ke al-Quds. Melihat tanah kelahirannya dikuasai oleh umat Islam. Harapannya tak pernah putus.

Yerushalayim shel zahav. Al-Quds bumi emas menurut lirik lagu Ofra Haza.
Click here bai to read more On "Lelaki Tua Dari al-Quds"!

Copyright © 2009 - Yamani Iskan Corner - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template