Ada apa dengan ramadhan?

Assalamualaikum w.b.t.

Ni satu artikel dari member aku yang sangat baik untuk ramadhan.Kalaupun anda malas membaca,silalah juga bersengkang mata untuk baca artikel ini sebab memang gerenti insyaAllah bermanfaat untuk menjadi checklist mengharungi ramadhan.Kalau lagi rajin,bacalah buku ustaz heizal tu.


Ramadhan tarbiyah terus dari allah.Datangnya dinanti,perginya ditangisi.

Sedar tidak sedar ramadhan sudah meniti di penghujungnya. Datangnya penuh dengan rahmat , pergi diiringi dengan keampunan. Didikan ramadhan menjadikan manusia sama taraf antara satu sama lain. Ia menjadikan kita tiada beza antara satu sama lain. Kita diasuh, tiada yang membezakan manusia melainkan sifat Takwa kepada Allah. Kerana itu, takwa menjadi asas didikan di dalam ramadhan , “Mudah-mudahan kamu bertakwa ” (2:183)

Apabila tibanya ramadhan, betapa tingginya darjat seseorang manusia, betapa tinggi pangkat dia, semuanya menjadi sama sahaja ketika ramadhan bermula. Apa yang lebih utama, kita boleh mendapati , Allah menyusun waktu manusia, mentadbir jadual manusia, membelenggu (mengikat) syaitan. Kerana apa? Semuanya tidak lain untuk memudahkan manusia mendapat takwa kepada Allah.

Sesungguhnya paling mulia dikalangan kamu disisi Allah adalah yang lebih bertakwa


Taqwa Asas Pembentukan Manusia

Taqwa menjadi asas keimanan, dan taqwa juga didapati sebagai asas untuk memperoleh syurga “disediakan untuk orang-orang yang bertakwa” (3:133) .

Di dalam ramadhan ini kita diajar bukan untuk memperbanyak harta, meninggikan jawatan, juga bukan untuk memperbesarkan pengaruh, tetapi kita diajar untuk berlumba dalam mengejar perasaan taqwa kepada Allah. Bila sudah bertaqwa maka mulialah manusia itu sendiri.

Taqwa dengan erti kata, takut tetapi rindu. Takut bukan seperti seperti takut pada samseng , harimau. Yang takutnya kita pada dua benda ini, menjadikan kita menjauhkan diri dari mereka. Bahkan takut tetapi rindu, takut pada kemurkaan Allah , rindu pada belaian kasih sayang Allah, rindukan keampunan Allah. Ini menjadikan taqwa sebagai punca mendekatkan kita pada Allah, meningkatkan keyakinan kita untuk memburu cinta Allah. Inilah yang menyebabkan kita berlumba-lumba dalam mencapai sifat taqwa ini.

Jika manusia dinilaikan mulia kerana harta yang ada, maka Qarun lebih layak untuk mulia dari kita. Jika Mahu dikirakan dengan pangkat kita mulia, maka Firaun lebih layak untuk mulia. Tetapi jika kita lihat didalam Alquran , Qarun ditenggelamkan ke dalam bumi kerana dengan harta , dia menjadi angkuh dan ingkar pada aturan Allah. Firaun Ditenggelamkan Allah dalam laut, kerana dengan jawatan dia ingkar dan takabbur dengan jawatan yang dimiliki. Sehinggakan berani menyebut ” Akulah Tuhanmu yang Maha Tinggi “ Dengan jawatan, Firaun ditenggelamkan dan dijadikan teladan bahawa manusia tidak mulia dengan harta, tidak mulia dengan jawatan.

Di dalam ramadhan, ALlah menyama tarafkan semua manusia. Kamu berpuasa perlu bersahur sebelum subuh dan berbuka selepas maghrib. Tidak kata bila kita ada jawatan tinggi, maka boleh berbuka awal, kita miskin perlu berbuka lewat. Tidak sama sekali, bahkan kaya dan miskin semuanya perlu bersahur dan berbuka pada masa yang sama.

Bagaimana Mahu Menjadikan Manusia Bertaqwa?

Allah menjadikan ramadhan ini untuk manusia insafi, untuk cek kembali diri kita dalam bulan ramadhan. Tiga elemen , perkara atau unsur yang perlu disemak kembali ketiak kita sudah berada di dalam ramadhan.


1. Aqidah (Keyakinan)

Keyakinan menjadi asas penting bagi jiwa manusia. Jika tiada aqidah yang sempurna, maka akan runtuhlah jiwa manusia. Ketika sebuah bangunan yang kuat dengan melihat pada bahan yang menjadi dasarnya, maka begitulah juga jiwa manusia, aqidah menjadi asas terpenting dalam penilaian jiwa manusia.

Bagaimana aqidah ini perlu dinilai semula ketika ramadhan?

Siang hari menjadikan kita bergantung penuh pada Allah, ia menjadikan kita tidak makan mahupun minum, sehinggakan kita duduk sendirian di dalam bilik yang gelap sekalipun, kita akan menghindari perkara-perkara yang menjerumuskan kita kepada perkara yang membatalkan puasa. Kita menjaga diri kita. Kerana apa? kerana kita merasakan bahawa Allah sedang melihat kita. Kita sanggup tak buat apa-apa yang membatalkan puasa, padahal ketika itu kita boleh menipu untuk makan dan minum, masuk bilik kemudian makan maggi senyap-senyap. Ataupun ketika mandi di sungai, atau di dalam bilik mandi, boleh sahaja minum dua tiga teguk ,lepas tu keluar dari bilik mandi atau sungai buat muka sardin! Semuanya boleh.

Anak-anak yang kecil , berpuasa sehingga petang-petang, duduk terjelupuk di atas kerusi, atas lantai, tidak bergerak, sehingga keluar ayat ” abah, ma , bangcik nak mati dah ni, lapar tak makan…” suara yang sayu-sayu dibuat anak kecil.

Kerana apa kita bersusah-susah dan menyusahkan diri kita? Apakah yang ALlah mahu ajarkan dari kesusahan ini? Jika kita yakin bahawa Allah ada dalam diri kita, maka kita akan selamat.

Inilah yang mahu ditanamkan didalam diri adanya Allah. Selama mana? Selama 30 hari Allah mahu didik jiwa dan diri kita dalam keadaan begitu. Walaupun orang lain tidak nampak, tetapi Allah nampak. Inilah yang mahu ditanam pada ramadhan, aqidah (keyakinan) yang mantap. Keyakinan yang menjadi asas dan tapak kepada Taqwa. Perasaan takut tetapi rindu, takut dan mengharap.

Jika di dalam rejab, dua bulan sebelum tibanya ramadhan, kita diuji dengan peristiwa besar Isra’ Mikraj yang menggegarkan jiwa kita, maka ramadhan menjadi medan untuk memantapkan keyakinan yang ada.

Kenapa Antara Subuh dan Maghrib?

Mengapa perlu berpuasa diantara subuh dan maghrib? Ulama membincangkan perkara ini, asas pertamanya kerana , antara dua solat inilah ramai orang yang tinggal solat. Subuh, sangat terkesan dengan tidur , sehinggakan ada istilah “Subuh Dinasour”. Bagaimana Allah mahu menjaga manusia agar menjaga solat subuh ini?

Dijadikan padanya sahur, makan sebelum masuk waktu subuh. Manusia bila sebut bab makan, dialah nombor satu, sanggup bangun semata-mata untuk makan. Dijadikan sahur itu dekat-dekat dengan subuh. Sebab itulah kita kena bangun sahur, kerana padanya penuh keberkatan.

Nabi sebut :

bersahurlah walau dengan sebiji tamar kerana padanya keberkatan

Sebab itu perlu untuk kita bangun sahur dan tak boleh sahur awal sangat. Ada dikalangan kita sahur pukul 12.30 malam, 200 pagi . Kerana apa? “takut tak bangun sahur nanti” mudah jawapan.

Ramai bimbang tak bangun sahur dari bimbang tidak bangun subuh. Kerana itulah diprogramkan lepas sahaja sahur terus subuh.

2. Ibadah (pengabdian)

Ramadhan ini adalah juga bulan kemantapan ibadah. Jika kuat ibadah, rapuh aqidah, binasa manusia. Tetapi jika kuat aqidah, kuat juga ibadah, maka tinggilah nilai manusia.

Allah programkan kita untuk jaga solat, dijadikan sahur dan berbuka.Bila maghrib menjelma, ramai berkejar-kejar untuk pulang berbuka dengan keluarga. Dalam ramadhan juga , ramai peka terhadap waktu solat. Bulan lain, waktu solat tidak pernah diambil peduli. Tapi ramadhan, sebulan, semua waktu dihafalnya. Subuh bila, maghrib bila.

Allah juga mendidik kita untuk membiasakan solat sebagai punca kerehatan, pusat ketenangan, diadakan solat tarawikh. Nabi kita buat 8. kita nak ikut boleh ikut. Saidina Umar alkhattab buat 20 rakaat, kita nak ikut pun boleh. Saidina Usman buat 30 , Umar Abdul aziz buat 36/38. Mana-mana kita nak buat pun boleh. Acapkali, dan saban tahun selalu kita mendengar perkelahian sama ada mahu buat 8 atau 20 tetapi jarang kedengaran perkelahian kerana mahu buat tarawikh 30 atau 38…

Di dalam bulan ramadhan juga, Allah nak didik kita untuk bangun di tengah malam. Maka diberikan kita satu malam yang disebut Lailatul Qadr (Malam Qadr), yang ibadah padanya lebih baik dari 1000 bulan (83 tahun) ibadah . Dijadikan malam itu malam yang penuh misteri, tidak diberitahu bilakah akan terjadi malam Qadr ini. Cuma yang disebut , 10 malam terakhir. Semata-mata untuk mendidik kita berusaha bangun setiap malam untuk bersungguh-sungguh mendapatkan malam yang penuh keberkatan ini.

Allah didik jiwa kita sepanjang bulan ramadhan ini untuk konsisten, ramadhan ini menjadi penentu. Ia mendidik kita, puasa, lapar, solat, lailatul qadr, tarawikh, semuanya ada program yang tersendiri yang padanya ada seribu satu rahsia yang ingin dididik di dalam jiwa kita.

Maka berbahagialah sebuah keluarga , yang suaminya kejut isterinya untuk bangun ditengah kesunyian malam. Isteri yang mengejutkan suaminya untuk bangun sama-sama membangunkan malam. Ayah mengejut anak-anak untuk turut sekali membangunkan malam.


3. Akhlak

Ramadhan juga Allah mendidik manusia dengan akhlak yang baik , dengan itu diturunkan Alquran. “Bulan ramadhan yang padanya diturunkan alquran sebagai petunjuk bagi manusia, dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara hak dan batil). ” (2:185)

Jika kita melalui sebuah jalan, dan kita sedang menuju ke suatu destinasi, maka pasti kita akan merujuk kepada papan-papan tanda yang berada ditepi-tepi jalan. Agar perjalanan kita akan bergerak lancar. Begitulah kita dalam kehidupan dunia ini, umpama satu perjalanan menuju satu destinasi, akhirat. Dunia sebagai laluan, jambatan ke akhirat. Maka sudah pasti, kita memerlukan satu petunjuk atau papan tanda agar perjalanan kita selari dengan petunjuk dan tidak melencong pada yang tak sepatutnya. Maka alquran menjadi petunjuk kita dalam kehidupan di dunia ini.

Inilah tiga unsur atau perkara yang Allah ingin didik kita di dalam bulan ramadhan. 29/30 hari penuh asuhan dan didikan diberikan kepada kita. Maka ketika sudah cukup 29/30 hari, kita mahu tahu apakah ramadhan berkesan pada diri kita, maka nilailah akhlak kita, hati kita, jiwa kita.

Jika kita merasakan bahawa ramadhan ini tiada perubahan pada diri kita, maka berdoalah pada Allah agar diberikan dan digantikan jiwa kita dengan hati dan jiwa yang baru. Sebagaimana sebuah kereta bila sudah dihantar ke kedai untuk dibaiki dan setelah 30 hari , tukang baiki mengatakan bahawa enjin yang ada sudah tidak boleh dibaiki, maka kita pasti akan suruh menukar yang baru. Begitulah hati dan jiwa kita.

Maka, ramadhan ini, 30 hari Allah menjadi pendidik kita, motivator kita, tukang susun jadual kita, maka sepatutnyalah bulan ini menjadi medan dan saat terbaik kita untuk berubah. Jika bukan dari bulan ini, bilakah saatnya untuk kita berubah?

Pernahkah kita terfikir saat yang mana bau mulut menjadi lebih wangi dari haruman kasturi selain ramadhan?

Pernahkah kita merasa waktu lebih indah selain dari waktu berbuka puasa?

Maka begitulah keindahan ramadhan, padanya mengubah jiwa , mendidik hati manusia-manusia yang punya akal dan perasaan bahawa dunia ini tiada yang lebih berhagra melainkan taqwa kepada Allah.

kredit : http://umaralfateh.wordpress.com/2008/09/29/ramadhan-tarbiyah-terus-dari-allah-datangnya-dinanti-perginya-ditangisi/#comment-1025


Mudah-mudahan Allah menyampaikan kita hingga ke hujung ramadhan dengan cemerlangnya insyaAllah.

Wassalam w.b.t.

.

0 comments:

Copyright © 2009 - Yamani Iskan Corner - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template