Antakya merupakan transit penumpang bas dari Syria ke Turki. Bagi penumpang bas awam, biasanya mereka akan tiba di Antakya menjelangnya fajar shodiq dan terpaksa menunggu bas seterusnya kira-kira 6 jam kemudian. Kepada para pengunjung, aku nasihatkan supaya tidur puas-puas dalam perjalanan kerana di Stesen Bas Antakya anda hampir tiada peluang untuk tidur secara normal kerana
1-Surau ditutup selepas subuh
2-Polis akan mengganggu tidur anda jika mereka mendapati anda berbaring di bangku
Bawalah buku apa-apa saja. Novel pun boleh. Atau cari saja teman berbual.
Bagi sesiapa yang boleh berbahasa Arab, aku fikir tiada masalah komunikasi bagi anda di sini kerana rata-rata penduduk di sini mahir berbahasa Arab. Sama seperti Melayu Patani yang boleh bicara bahasa Siam, Arab 48 yang boleh berbahasa Hebrew begitu juga dengan penduduk Antakya yang boleh bercakap dalam bahasa Arab dengan dialek Syria yang kadangkala menjengkelkan itu.
Disebabkan aku mengembara berseorangan, aku terpaksa berbual-bual dengan penduduk tempatan dan pemandu teksi bagi menghilangkan bosan dan mengurangkan air liur yang terperap dalam mulut.
Aku ada tanya apa bangsa mereka sebenarnya
Ada yang jawab
'' Aku orang Turki tapi berlidah Arab''
''Aku orang Arab. Atuk nenek moyang aku pun Arab. Tapi aku tinggal di Turki dan memegang kerakyatan Turki''
Ada juga yang peramah berkata begini
''Di sini, ramai orang asing yang dapat kerakyatan Turki. Macam sedara aku yang belajar di Maghribi kahwin dengan orang Taiwan dan tinggal di sini. Kau kahwin dengan orang Turki dan kau boleh dapat kerakyatan''
Oh. Tapi nak kena belajar bahasa Turki lagi.
''Bahasa Turkilah bahasa yang paling senang di dunia''
Oh.
''Kalau kau nak amek 2 kerakyatan pun boleh. Macam kami, ada yang kerakyatan Syria dengan Turki''
Aku pun cuba bakar beliau. Aku tanya, kalau Syria perang dengan Turki, kau nak sokong mana?
''Hahahaha. Kau ni. Zaman sekarang mana ada perang-perang ni''
Ceh. Mana tau kalau nak terjadi. Nampak sangat tak setia. Tak ada pendirian tetap.
Borak punya borak dan kami akhirnya sampai di Halab, Syria. Perjalanan dengan teksi tak sampai 2 jam. Harga? Teruskan membaca hingga akhir entri.
Situasi yang serupa di Halab. Masih ramai juga orang Arab yang pandai berbahasa Turki walaupun tak seramai orang di Antakya yang boleh berbahasa Arab. Di sana, aku sempat berkenalan, bersahur dan meminjam henpon seorang remaja Syria yang boleh bercakap dalam 4 bahasa; Turki, Arab, English dan French walaupun tak begitu lancar. Ada pakcik golongan Alawiyyin yang mengutuk pakcik Turki dalam bahasa Arab. Sekejap kutuk dalam Turkce. Mungkin sebab itu, pakcik tersebut senyap. Nasib kau lah. Jadi 'lauk' sahur diorang.
Tamat kisah tentang bahasa.
Aku berjalan bersama Abu Muhammad, penjual tiket Syarikat Bas Challenge selepas menunaikan solat subuh di masjid berdekatan. Di sekitar stesen bas itu, ada Muzium Halab, ada Citadel entah aku tak ingat nama dia dan beberapa kawasan pelancongan.
Abu Muhammad tanya aku.
''Berapa kau bayar mamat teksi yang hantar kau malam tadi''
100 Lira Turki.
''Tulah kau. Kalau kau naik teksi plat Syria, kau boleh dapat separuh harga''
Terima kasih atas maklumat, jawapan klise aku untuk situasi sebegini. Itupun aku terpaksa naik teksi sebab dah aku tiba di Antakya pukul 1 pagi. Waktu tu tak ada bas dan kebetulan aku seorang saja yang nak ke Syria. Nak tunggu sampai esok pagi malas.
Sekadar maklumat
-Bas dari Halab ke Amman, harga tiketnya 750 Lira Syria. Lebih kurang 7 jam nak sampai sempadan Syria-Jordan. Ingat, bas tersebut turun di Amman. Kalau anda tak nak diturunkan di Amman(untuk menjimatkan kos dan masa kononnya), anda mempunyai dua pilihan
1-Anda sendiri kena tahu sama ada bas tersebut melalui KAUH atau tidak kerana pemandu bas tak berapa maklum jalan sekitar Ramtha dan Irbid.
Atau
2-Anda tumpang saja kereta yang ada di sempadan. Bayaran sekitar 10JD-15JD hingga ke destinasi yang anda mahukan di Irbid.
p/s Grup klinikal dah keluar(bagi yang tak tau lagi). Kebetulan aku dapat sekumpulan dengan geng-geng teksi. Boleh pergi hospital sekali.
Click here bai to read more On "Berkenalan Dengan Orang Sempadan"!
''$%^*&(*'' seorang pakcik Turki berkata sesuatu yang kurang aku fahami. Tangannya menghulurkan sebungkus biskut jenama Ulker kepada aku. Jenama tersebut agak terkenal juga di Jordan. Pada mulanya aku tolak, tapi kerana beliau berkeras maka aku terima juga. Dan biskut itu dimakan.....
.......oleh kawan-kawan aku di sini. Pok Mi dan Bro Faz.
'Tesekkur ederim, efendim'' . Aku sekadar berbasa-basi.
''Efendim. Ada... tak.... keretapi.... dari... Adana... ke... Hatay.... malam... ini?'' kata aku dengan Bahasa Turki dengan tersekat-sekat.
Mujur dia faham. Dia bangun dan pergi berjumpa dengan seorang petugas untuk bertanyakan hal tersebut. Perempuan muda yang duduk sebelahnya hanya senyap. Mungkin anak dia.
Kemudian pak cik itu datang kembali.
''Keretapi ada tapi hari Selasa, Khamis dan Jumaat''
Erk. Hari ini hari Ahad. Mana aku nak merempat satu hari. Dan yang penting, ada apa di Adana.
''Ada tak bas ke Hatay malam ni''
''^%*&(&*(^(&*('' Lagi sekali aku tak faham. ''Tamam'' aku sekadar meraikan.
Keretapi berhenti. Mereka berdua mengajak aku berjalan bersama. Katanya anaknya akan datang menjemput mereka. Aku ikut sahaja. Aku tak takut. Aku dah belajar taekwondo.
selama 3 minggu sahaja...
''Ne adiniz?'' tanya perempuan itu. ''Mehmet'' jawabku ringkas. Aku cuma nak mereka tahu yang aku ini Muslim. Manalah tahu kalau mereka juga Muslim. Dan baru sekarang aku tahu yang nama sebenar aku juga digunakan oleh orang Turki sebagai nama keluarga.
Aku cuba beramah dengan mereka. Si ayah namanya Erol dan anak gadisnya bernama Yomur. Tak dapat dipastikan mereka Muslim atau tidak. Yang pastinya Yomur itu wajahnya manis. Cuma tak bertudung. Rupanya mereka berdua baru pulang dari Istanbul kerana urusan pendaftaran Yomur di Universiti Perempuan Mermara. Pelajar bidang Fisioterapi. Oh, sekeretapilah kita tapi lain gerabak.
''Apa kata aku carikan kau teksi dan terus pulang ke Jordan''
Erk. Gila apa. Aku mana ada duit banyak nak naik kereta.
''Habis tu, ada pula kau duit nak jalan-jalan.
Pakcik, saya bawa duit sikit saja ni. Tidur pun di masjid dan rumah kawan.
''Ok. Kita pergi stesen bas sekarang''
Pak cik itu pun menahan bas dan kami sama-sama menuju ke Stesen Bas. Agak lawa stesen basnya. Lebih kurang macam Stesen Bas Batu Pahat. Cuma lebih bersih.
Kami berjalan menuju kaunter tiket bas syarikat HAS. Tiket yang ada pukul 9 malam. Bermakna ada lagi lebih kurang setengah jam untuk aku berambus dari Adana. Aku menyeluk saku untuk membayar tiket bas namun ditahan oleh pakcik Erol. Beliau menghulurkan wang kertas 50 lira untuk membayar harga tiket. Dan 20 lira diberi untuk belanja aku katanya. Bantuan beliau tak berakhir di situ. Beliau membelikan aku sandwich ayam serta air mineral. Amat baik hati.
''Iyi yolculuklar'' katanya sambil memeluk aku. Amat terharu. Menyesal pula aku tak cakap nak naik kereta tadi. Mana tahu dia nak bayar. Keh keh keh....
Entah dapat entah tidak nak berjumpa mereka lagi. Menyesal tak bagi e-mail.
Dan aku meneruskan pengembaraan dengan hati yang tenang......
Seperti biasa ada kuiz
1. Berapakah kadar tukaran Lira Turki kepada Ringgit Malaysia?
2. Bagi yang pernah naik bas syarikat HAS:
-berapakah harga tiket dari Adana ke Hatay(Antakya)?
-kenapa henpon tak boleh digunakan dalam bas?
3. Di manakah tempat untuk mendapatkan tiket keretapi di Istanbul?
4. Apakah tarikan pelancong yang terdapat di Konya?
5. Biskut jenama Ulker terdapat dalam perisa apa, yang banyak didapati di Irbid?
6. Bilakah waktu yang sesuai untuk mengucapkan 'afiyet olsun' dan 'allah rahmet olsun'? Click here bai to read more On "Suatu Ketika di Adana"!
Rumah cikgu yang aku tumpang semalam.bak kata pepatah abu bakar 'makan tanggung berak cangkung'
masjid di konya
muzium mawlana.ada makam mawlana jelaluddin seljukci kat dalam dengan peninggalan beliau.ada ney serta mashaf quran
cuba teka kat mana ni
post yang cukup2 syarat..dan gambar tak banyak diambil di sana.. Click here bai to read more On "Jalan-jalan Turkiye"!
Gaya masih sama TAPI....sekian
Assalamualaikum w.b.t.
Ni satu artikel dari member aku yang sangat baik untuk ramadhan.Kalaupun anda malas membaca,silalah juga bersengkang mata untuk baca artikel ini sebab memang gerenti insyaAllah bermanfaat untuk menjadi checklist mengharungi ramadhan.Kalau lagi rajin,bacalah buku ustaz heizal tu.
Ramadhan tarbiyah terus dari allah.Datangnya dinanti,perginya ditangisi.
Sedar tidak sedar ramadhan sudah meniti di penghujungnya. Datangnya penuh dengan rahmat , pergi diiringi dengan keampunan. Didikan ramadhan menjadikan manusia sama taraf antara satu sama lain. Ia menjadikan kita tiada beza antara satu sama lain. Kita diasuh, tiada yang membezakan manusia melainkan sifat Takwa kepada Allah. Kerana itu, takwa menjadi asas didikan di dalam ramadhan , “Mudah-mudahan kamu bertakwa ” (2:183)
Apabila tibanya ramadhan, betapa tingginya darjat seseorang manusia, betapa tinggi pangkat dia, semuanya menjadi sama sahaja ketika ramadhan bermula. Apa yang lebih utama, kita boleh mendapati , Allah menyusun waktu manusia, mentadbir jadual manusia, membelenggu (mengikat) syaitan. Kerana apa? Semuanya tidak lain untuk memudahkan manusia mendapat takwa kepada Allah.
“Sesungguhnya paling mulia dikalangan kamu disisi Allah adalah yang lebih bertakwa”
Taqwa Asas Pembentukan Manusia
Taqwa menjadi asas keimanan, dan taqwa juga didapati sebagai asas untuk memperoleh syurga “disediakan untuk orang-orang yang bertakwa” (3:133) .
Di dalam ramadhan ini kita diajar bukan untuk memperbanyak harta, meninggikan jawatan, juga bukan untuk memperbesarkan pengaruh, tetapi kita diajar untuk berlumba dalam mengejar perasaan taqwa kepada Allah. Bila sudah bertaqwa maka mulialah manusia itu sendiri.
Taqwa dengan erti kata, takut tetapi rindu. Takut bukan seperti seperti takut pada samseng , harimau. Yang takutnya kita pada dua benda ini, menjadikan kita menjauhkan diri dari mereka. Bahkan takut tetapi rindu, takut pada kemurkaan Allah , rindu pada belaian kasih sayang Allah, rindukan keampunan Allah. Ini menjadikan taqwa sebagai punca mendekatkan kita pada Allah, meningkatkan keyakinan kita untuk memburu cinta Allah. Inilah yang menyebabkan kita berlumba-lumba dalam mencapai sifat taqwa ini.
Jika manusia dinilaikan mulia kerana harta yang ada, maka Qarun lebih layak untuk mulia dari kita. Jika Mahu dikirakan dengan pangkat kita mulia, maka Firaun lebih layak untuk mulia. Tetapi jika kita lihat didalam Alquran , Qarun ditenggelamkan ke dalam bumi kerana dengan harta , dia menjadi angkuh dan ingkar pada aturan Allah. Firaun Ditenggelamkan Allah dalam laut, kerana dengan jawatan dia ingkar dan takabbur dengan jawatan yang dimiliki. Sehinggakan berani menyebut ” Akulah Tuhanmu yang Maha Tinggi “ Dengan jawatan, Firaun ditenggelamkan dan dijadikan teladan bahawa manusia tidak mulia dengan harta, tidak mulia dengan jawatan.
Di dalam ramadhan, ALlah menyama tarafkan semua manusia. Kamu berpuasa perlu bersahur sebelum subuh dan berbuka selepas maghrib. Tidak kata bila kita ada jawatan tinggi, maka boleh berbuka awal, kita miskin perlu berbuka lewat. Tidak sama sekali, bahkan kaya dan miskin semuanya perlu bersahur dan berbuka pada masa yang sama.
Bagaimana Mahu Menjadikan Manusia Bertaqwa?
Allah menjadikan ramadhan ini untuk manusia insafi, untuk cek kembali diri kita dalam bulan ramadhan. Tiga elemen , perkara atau unsur yang perlu disemak kembali ketiak kita sudah berada di dalam ramadhan.
1. Aqidah (Keyakinan)
Keyakinan menjadi asas penting bagi jiwa manusia. Jika tiada aqidah yang sempurna, maka akan runtuhlah jiwa manusia. Ketika sebuah bangunan yang kuat dengan melihat pada bahan yang menjadi dasarnya, maka begitulah juga jiwa manusia, aqidah menjadi asas terpenting dalam penilaian jiwa manusia.
Bagaimana aqidah ini perlu dinilai semula ketika ramadhan?
Siang hari menjadikan kita bergantung penuh pada Allah, ia menjadikan kita tidak makan mahupun minum, sehinggakan kita duduk sendirian di dalam bilik yang gelap sekalipun, kita akan menghindari perkara-perkara yang menjerumuskan kita kepada perkara yang membatalkan puasa. Kita menjaga diri kita. Kerana apa? kerana kita merasakan bahawa Allah sedang melihat kita. Kita sanggup tak buat apa-apa yang membatalkan puasa, padahal ketika itu kita boleh menipu untuk makan dan minum, masuk bilik kemudian makan maggi senyap-senyap. Ataupun ketika mandi di sungai, atau di dalam bilik mandi, boleh sahaja minum dua tiga teguk ,lepas tu keluar dari bilik mandi atau sungai buat muka sardin! Semuanya boleh.
Anak-anak yang kecil , berpuasa sehingga petang-petang, duduk terjelupuk di atas kerusi, atas lantai, tidak bergerak, sehingga keluar ayat ” abah, ma , bangcik nak mati dah ni, lapar tak makan…” suara yang sayu-sayu dibuat anak kecil.
Kerana apa kita bersusah-susah dan menyusahkan diri kita? Apakah yang ALlah mahu ajarkan dari kesusahan ini? Jika kita yakin bahawa Allah ada dalam diri kita, maka kita akan selamat.
Inilah yang mahu ditanamkan didalam diri adanya Allah. Selama mana? Selama 30 hari Allah mahu didik jiwa dan diri kita dalam keadaan begitu. Walaupun orang lain tidak nampak, tetapi Allah nampak. Inilah yang mahu ditanam pada ramadhan, aqidah (keyakinan) yang mantap. Keyakinan yang menjadi asas dan tapak kepada Taqwa. Perasaan takut tetapi rindu, takut dan mengharap.
Jika di dalam rejab, dua bulan sebelum tibanya ramadhan, kita diuji dengan peristiwa besar Isra’ Mikraj yang menggegarkan jiwa kita, maka ramadhan menjadi medan untuk memantapkan keyakinan yang ada.
Kenapa Antara Subuh dan Maghrib?
Mengapa perlu berpuasa diantara subuh dan maghrib? Ulama membincangkan perkara ini, asas pertamanya kerana , antara dua solat inilah ramai orang yang tinggal solat. Subuh, sangat terkesan dengan tidur , sehinggakan ada istilah “Subuh Dinasour”. Bagaimana Allah mahu menjaga manusia agar menjaga solat subuh ini?
Dijadikan padanya sahur, makan sebelum masuk waktu subuh. Manusia bila sebut bab makan, dialah nombor satu, sanggup bangun semata-mata untuk makan. Dijadikan sahur itu dekat-dekat dengan subuh. Sebab itulah kita kena bangun sahur, kerana padanya penuh keberkatan.
Nabi sebut :
” bersahurlah walau dengan sebiji tamar kerana padanya keberkatan“
Sebab itu perlu untuk kita bangun sahur dan tak boleh sahur awal sangat. Ada dikalangan kita sahur pukul 12.30 malam, 200 pagi . Kerana apa? “takut tak bangun sahur nanti” mudah jawapan.
Ramai bimbang tak bangun sahur dari bimbang tidak bangun subuh. Kerana itulah diprogramkan lepas sahaja sahur terus subuh.
2. Ibadah (pengabdian)
Ramadhan ini adalah juga bulan kemantapan ibadah. Jika kuat ibadah, rapuh aqidah, binasa manusia. Tetapi jika kuat aqidah, kuat juga ibadah, maka tinggilah nilai manusia.
Allah programkan kita untuk jaga solat, dijadikan sahur dan berbuka.Bila maghrib menjelma, ramai berkejar-kejar untuk pulang berbuka dengan keluarga. Dalam ramadhan juga , ramai peka terhadap waktu solat. Bulan lain, waktu solat tidak pernah diambil peduli. Tapi ramadhan, sebulan, semua waktu dihafalnya. Subuh bila, maghrib bila.
Allah juga mendidik kita untuk membiasakan solat sebagai punca kerehatan, pusat ketenangan, diadakan solat tarawikh. Nabi kita buat 8. kita nak ikut boleh ikut. Saidina Umar alkhattab buat 20 rakaat, kita nak ikut pun boleh. Saidina Usman buat 30 , Umar Abdul aziz buat 36/38. Mana-mana kita nak buat pun boleh. Acapkali, dan saban tahun selalu kita mendengar perkelahian sama ada mahu buat 8 atau 20 tetapi jarang kedengaran perkelahian kerana mahu buat tarawikh 30 atau 38…
Di dalam bulan ramadhan juga, Allah nak didik kita untuk bangun di tengah malam. Maka diberikan kita satu malam yang disebut Lailatul Qadr (Malam Qadr), yang ibadah padanya lebih baik dari 1000 bulan (83 tahun) ibadah . Dijadikan malam itu malam yang penuh misteri, tidak diberitahu bilakah akan terjadi malam Qadr ini. Cuma yang disebut , 10 malam terakhir. Semata-mata untuk mendidik kita berusaha bangun setiap malam untuk bersungguh-sungguh mendapatkan malam yang penuh keberkatan ini.
Allah didik jiwa kita sepanjang bulan ramadhan ini untuk konsisten, ramadhan ini menjadi penentu. Ia mendidik kita, puasa, lapar, solat, lailatul qadr, tarawikh, semuanya ada program yang tersendiri yang padanya ada seribu satu rahsia yang ingin dididik di dalam jiwa kita.
Maka berbahagialah sebuah keluarga , yang suaminya kejut isterinya untuk bangun ditengah kesunyian malam. Isteri yang mengejutkan suaminya untuk bangun sama-sama membangunkan malam. Ayah mengejut anak-anak untuk turut sekali membangunkan malam.
3. Akhlak
Ramadhan juga Allah mendidik manusia dengan akhlak yang baik , dengan itu diturunkan Alquran. “Bulan ramadhan yang padanya diturunkan alquran sebagai petunjuk bagi manusia, dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara hak dan batil). ” (2:185)
Jika kita melalui sebuah jalan, dan kita sedang menuju ke suatu destinasi, maka pasti kita akan merujuk kepada papan-papan tanda yang berada ditepi-tepi jalan. Agar perjalanan kita akan bergerak lancar. Begitulah kita dalam kehidupan dunia ini, umpama satu perjalanan menuju satu destinasi, akhirat. Dunia sebagai laluan, jambatan ke akhirat. Maka sudah pasti, kita memerlukan satu petunjuk atau papan tanda agar perjalanan kita selari dengan petunjuk dan tidak melencong pada yang tak sepatutnya. Maka alquran menjadi petunjuk kita dalam kehidupan di dunia ini.
Inilah tiga unsur atau perkara yang Allah ingin didik kita di dalam bulan ramadhan. 29/30 hari penuh asuhan dan didikan diberikan kepada kita. Maka ketika sudah cukup 29/30 hari, kita mahu tahu apakah ramadhan berkesan pada diri kita, maka nilailah akhlak kita, hati kita, jiwa kita.
Jika kita merasakan bahawa ramadhan ini tiada perubahan pada diri kita, maka berdoalah pada Allah agar diberikan dan digantikan jiwa kita dengan hati dan jiwa yang baru. Sebagaimana sebuah kereta bila sudah dihantar ke kedai untuk dibaiki dan setelah 30 hari , tukang baiki mengatakan bahawa enjin yang ada sudah tidak boleh dibaiki, maka kita pasti akan suruh menukar yang baru. Begitulah hati dan jiwa kita.
Maka, ramadhan ini, 30 hari Allah menjadi pendidik kita, motivator kita, tukang susun jadual kita, maka sepatutnyalah bulan ini menjadi medan dan saat terbaik kita untuk berubah. Jika bukan dari bulan ini, bilakah saatnya untuk kita berubah?
Pernahkah kita terfikir saat yang mana bau mulut menjadi lebih wangi dari haruman kasturi selain ramadhan?
Pernahkah kita merasa waktu lebih indah selain dari waktu berbuka puasa?
Maka begitulah keindahan ramadhan, padanya mengubah jiwa , mendidik hati manusia-manusia yang punya akal dan perasaan bahawa dunia ini tiada yang lebih berhagra melainkan taqwa kepada Allah.
kredit : http://umaralfateh.wordpress.com/2008/09/29/ramadhan-tarbiyah-terus-dari-allah-datangnya-dinanti-perginya-ditangisi/#comment-1025
Mudah-mudahan Allah menyampaikan kita hingga ke hujung ramadhan dengan cemerlangnya insyaAllah.
Wassalam w.b.t.
.

